Ciri utama teknologi 3G 3G_(Generasi_Ketiga)

Ciri teknologi telefon bimbit 3G yang terutama adalah bahawa ia boleh menyokong lebih banyak pelanggan (khususnya di kawasan bandar) serta juga kadar data yang lebih tinggi pada kos tokokan yang lebih rendah, berbanding dengan 2G. 3G mempergunakan lebar pembawa saluran .6 MHz untuk menghantar kadar data serta muatan yang jauh lebih tinggi, berbanding dengan rangkaian 2G. Ia juga membenarkan penghantaran 384 kbit/s untuk sistem telefon bimbit dan 2 Mb/s untuk sistem pegun. Para pengguna 3G boleh menikmati muatan yang lebih besar serta kecekapan spektrum yang lebih baik yang membenarkan mereka mencapai roaming antarabangsa antara berbagai-bagai rangkaian 3G yang berbeza. Telefon bimbit 3G biasanya memiliki kamera, pemain muzik, pemain video, kad pintar (untuk fungsi-fungsi pembayaran), pelayar web, klien e-mel, dan sebagainya. 3G berbeza dengan rangkaian IEEE 802.11 (Wi-Fi rumah yang biasa) yang merupakan rangkaian julat pendek dan lebar jalur tinggi yang dikembangkan, terutamanya untuk data.

3G bersandarkan keluarga piawai Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di bawah program Telekomunikasi Telefon Bimbit Antarabangsa, IMT-2000. Melalui piawai IMT-2000, ITU telah menentukan keperluan untuk rangkaian telefon bimbit 3G. Sebuah pertubuhan yang digelar Projek Perkongsian Generasi Ke-3 (3GPP) telah meneruskan kerja tersebut dengan mentakrifkan Sistem Telekomunikasi Telefon Bimbit Sejagat (UMTS), suatu sistem telefon bimbit yang memenuhi piawai IMT-2000. Evolusi sistem 3G akan menuju ke masa hadapan melalui lepasan-lepasan, dengan setiap lepasan memperkenalkan ciri-ciri yang baru. IMT-2000 terdiri daripada enam antara muka radio:

  1. W-CDMA
  2. CDMA2000
  3. TD-CDMA / TD-SCDMA
  4. UWC (seringnya dilaksanakan dengan EDGE)
  5. DECT
  6. WiMAX Telefon Bimbit.

Berbeza dengan GSM, UMTS berdasarkan perkhidmatan-perkhidmatan berlapis:

  • Lapisan teratas ialah lapisan perkhidmatan yang membekalkan perkhidmatan yang pantas serta lokasi terpusat.
  • Lapisan pertengahan ialah lapisan kawalan yang membantu mempertingkatkan tatacara-tatacara serta juga membenarkan muatan rangkaian diperuntukkan secara dinamik.
  • Lapisan terbawah ialah lapisan kesalinghubungan yang membenarkan sebarang teknologi penghantaran dipergunakan dan lalu lintas suara dipindahkan melalui ATM/AAL2 atau IP/RTP.